Cara Cabut dan Bunuh Tempiras/Kutu Babi

Cara Cabut dan Bunuh Tempiras/Kutu Babi


Tempiras adalah sub-spesis serangga jenis penghisap darah sekeluarga dengan kutu, hama, pepijat dan cengkenit, tetapi tempiras dilihat lebih merbahaya berbanding serangga lainnya kerana serangga ini akan terus menghisap darah selagi mana tidak dicabut dan daya gigitannya yang kuat serta sukar dibuang kalau sudah lama bertapak pada anggota tubuh manusia atau haiwan.

       Kebiasaanya serangga ini berada di kawasan semak dan juga tubuh haiwan seperti kambing dan lembu, pernah juga terbaca pengalaman orang yang melihat seekor ular sawa mati dipenuhi dengan tempiras yang sedang menghisap darah. Oleh itu, ibubapa yang mempunyai anak yang suka bermain diluar rumah terutamanya dikawasan semak perlulah tengok-tengok dan periksa anggota badan anak masing-masing terutamanya dicelah-celah telinga dan sekitar kawasan kepala atau jika lihat anak kecil selalu menanggis, periksalah kalau-kalau ada benda yang tak kena kerana mereka tak pandai nak cakap jangan sampai tunggu dia dah buat sarang dan bertelur baru nak bertindak.

       Nak cerita betapa sakitnya kena gigit tempiras memanglah tak terkata,  cukup dengan melihat betapa derita mereka yang terkena gigitan tempiras di tempat sensitif seperti telinga sampaikan ada yang demam beberapa hari. Nak cabut anak tempiras seekor pun dah terkeluar kulit dan gatalnya bekas gigitan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk hilang. 

       Di sini saya bawakan beberapa cara untuk menanggalkan gigitan tempiras dan membunuhnya. Tempiras ini tidak boleh dicabut terus kerana boleh menyebabkan taring atau giginya tercabut dan tertinggal dibawah kulit. Taring yang tertinggal inilah yang akan meninggalkan kesakitan yang berpanjangan.

1- Tembakau

Caranya ambil sedikit tembakau dan lembapkan dengan sedikit air kemudian tekapkan pada tempiras atau kutu tersebut lebih kurang 20 saat hingga tempiras tertanggal atau mati. Boleh juga rendam tembakau dan titiskan air tembakau pada tempiras.

2- Minyak cap kapak

Caranya letak sedikit minyak cap kapak pada kapas kemudian sapukan pada badan tempiras tersebut dan apabila tempiras tersebut rasa panas dia akan keluar atau mati.

3- Minyak gamat

Caranya letak sedikit minyak gamat pada kapas kemudian sapukan pada badan tempiras tersebut.

4- Penyembur racun serangga 

Sembur racun serangga seperti Ridsect/Shiedtox pada putik kapas (cotton buds) kemudian letakkan pada kutu tersebut.


5- Minyak Tanah


Caranya: Sapukan minyak tanah pada tempiras dan tunggu sehingga serangga tersebut melepaskan gigitannya.

6- Cuka makan

Caranya: Sapukan cuka pada tempiras dan tunggu sehingga serangga tersebut melepaskan gigitannya.

7- Air Garam

Caranya: Rendam bahagian yang digigit tempiras dalam air garam sehingga serangga tersebut melepaskan gigitannya.

8- Bawa ke klinik atau hospital

Ini adalah cara terakhir jika keadaan terlalu kritikal. Kebiasaannya pihak hospital akan merujuk pada pakar telingga dalam masalah tempiras di dalam telinga. Doktor akan sembur sejenis cecair kedalam telinga dan menarik keluar tempiras tersebut.

Amaran: Lakukan setiap cara diatas dengan berhati-hati dengan mendapat nasihat doktor. Jauhi ubat-ubatan dan bahan-bahan diatas dari mata dan mulut. 

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular