Benang Yang Dibuat Daripada Rambut


Benang Yang Dibuat Daripada Rambut



Tahanan dalam Kem Manjaca. Sumber Gambar: genocideinbosnia.wordpress


Dunia pastinya tidak dapat melupai peristiwa hitam yang berlaku di Bosnia antara tahun 1992 hingga 1995. Pembersihan etnik yang dilakukan oleh pelampau Serbia terhadap penduduk muslim Bosnia ini telah memakan ratusan ribu korban dan telah meninggalkan kesan trauma berpanjangan keatas penduduknya. Para perogol yang terlibat juga masih lagi hidup bebas. 
Dalam perang yang tidak mengenal erti kemanusiaan ini ramai orang awam yang dibunuh dan ditahan dalam pusat-pusat tahanan sekitar Bosnia. Para tahanan lelaki Bosnia disiksa dan dibiarkan kebulur manakala wanitanya pula dirogol siang dan malam oleh pengganas Serbia sebelum ditembak mati di dalam ladang jagung dan hutan.


Dalam salah satu buku yang pernah saya baca, penulis telah menulis satu himpunan pengalaman para tahanan dan mangsa yang terselamat dalam pembunuhan di kem tahanan dan operasi militan Serbia diseluruh Bosnia. Salah seorang mangsa menceritakan bahawa para tahanan diberikan makanan yang sangat sedikit dan minuman dicatu. Jika salah seorang tahanan ingin ke tandas dia pasti akan dibelasah dan dimaki sepanjang perjalanan ke tandas oleh para pengawal kem tahanan. Akibat kekurangan makanan dan sering dibelasah, ramai yang luka dan jatuh sakit. 


Dalam tulisan kali ini saya ingin menukil ilmu penting dari pengalaman mangsa perang Bosnia untuk merawat rakan-rakanmereka yang terluka dan tercedera dalam kem tahanan. Bagi mengurangkan angka kematian dalam kalangan mereka disebabkan penyakit dan penyiksaan, tahanan yang terdiri dari kalangan doktor cuba berikhtiar untuk merawat tahanan-tahanan lain yang sakit dan tercedera dengan pelbagai cara yang termampu walau dengan alatan perubatan yang terhad. Sebahagian dari mereka cuba menyeludup jarum jahitan masuk ke dalam kem tahanan dan telah menjadikan rambut mereka yang panjang berjurai itu sebagai pengganti benang jahitan. Dengan dua benda inilah luka-luka para tahanan dirawat. Dan dengan teknik inilah sebahagian tahanan Bosnia bertahan untuk  terus hidup hingga perang Bosnia selesai.


Ulasan

Catatan Popular